Thursday, October 18, 2007

SSM NAIK KOMPAUN SYARIKAT 500%

Ini adalah petikan dari akhbar utusan bertarikh 16 Oktober 2007

Oleh AMRAN AHMAD
KUALA LUMPUR 16 Okt. – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan meningkatkan kadar kompaun sehingga 500 peratus bagi 199 jenis kesalahan, yang dilakukan oleh syarikat dan firma perniagaan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Abdul Karim Abdul Jalil berkata, kenaikan itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan pengarah-pengarah syarikat mematuhi semua peraturan Akta Syarikat 1965.
‘‘Walaupun kadar pematuhan di kalangan pengarah syarikat tempatan semakin meningkat, namun kenaikan kompaun itu akan mempengaruhi lebih ramai pengarah untuk mematuhi peraturan di bawah Akta Syarikat 1965,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Setakat 31 Julai lalu, sejumlah 781,229 syarikat telah diperbadankan di negara ini iaitu meningkat sebanyak 5.15 peratus berbanding 740,934 syarikat pada tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 486,059 syarikat adalah aktif, manakala selebihnya dalam kategori tidak aktif dan menunggu masa untuk dibatalkan pendaftaran mereka.
Abdul Karim berkata, pertambahan bilangan syarikat yang diperbadankan itu adalah berikutan persekitaran ekonomi yang kondusif dan galakan yang diberikan kerajaan.
Selain itu, katanya, pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedikit sebanyak telah meningkatkan peluang perniagaan.
Ketika ditanya mengenai kadar pematuhan di kalangan pengarah syarikat, beliau berkata, sehingga pertengahan Ogos lalu, sebanyak 339,592 syarikat daripada keseluruhan 486,059 syarikat yang aktif telah mematuhi dan menyerah penyata tahunan dan kewangan kepada SSM.
‘‘Jumlah itu adalah satu peningkatan berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu yang hanya mencatat 245,682 syarikat tampil menghantar penyata berkenaan daripada 515,498 syarikat yang aktif,’’ katanya.
Ketika ditanya berkenaan tindakan SSM terhadap syarikat yang masih belum menyerah penyata tahunan dan kewangan mereka, katanya, SSM mengamalkan pendekatan penguatkuasaan seimbang.
SSM tidak akan terus mengenakan tindakan saman terhadap syarikat yang belum menyerah dokumen tersebut, sebaliknya menghantar notis untuk mendapatkan maklumat syarikat di bawah seksyen 7(11)(a) Akta Syarikat 1965.

No comments: